Sunday, November 23, 2008

sebelum ianya hilang

pada hari ini, saya tiba-tiba tergerak untuk menulis dalam bahasa malaysia. almaklumlah, dari segi akademik, sekarang, saya hanya perlu menghadap bahasa jepun ataupun bahasa inggeris. walaupun bahasa malaysia menjadi bahasa pertuturan sepanjang masa, saya terfikir, adakah kami menggunakan bahasa malaysia yang asli. kami sudah mencampur-campurkannya mengikut citarasa sendiri. tatabahasa sudah tidak menjadi perkara yang kami ambil kisah. oleh itu, biarlah hari ini saya mempraktikkan bahasa malaysia dari segi penulisan-sesuatu yang sudah lama saya tinggalkan kecuali di dalam ruang sembang.

cukuplah menerangkan mengapa kali ini bahasa malaysia digunakan.

persoalan yang berlegar-legar di kepala otak saya sekarang ini ialah mengenai soal cinta. saya sebenarnya hairan mengapa kita acapkali disogok dengan isu ini. buka saja mata, lihatlah media yang menjadi teman di mana-mana, apakah yang menjadi topik hangat? cinta. cinta antara dua jantina yang tidak tentu halal haramnya. saya kadang-kala terkilan apabila melihat kerakusan manusia yang sekaligus menodai kesucian cinta. cinta sepatutnya merujuk kepada sesuatu yang sangat bermakna, sesuatu yang berharga, benang yang menghubungkan antara manusia, menjadikan manusia lebih berperikemanusiaan. cinta itu sungguh LUAS! hingga ramai yang tidak menyedarinya.
namun, apa yang lebih kita suka fokuskan ialah cinta heteroseksual. "aku suka si dia!" ini barangkali apa yang terdetik di hati seorang perawan ataupun jejaka. saya berpendapat mainan perasaan yang sering bergelora dalam darah si muda memang sukar untuk dielakkan, tetapi perlukah kita pergi meneruskan naluri yang dipandu nafsu itu? tidakkah itu akan bercanggah dengan tujuan hidup kita ini?

ataupun barangkali manusia lupa mengapakah mereka dilahirkan di muka bumi ini??

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنْسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ
[الذاريات: 56]

“Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku” (Adz-Dzariat: 56)

secara umum, ibadah ada dua, ibadah khusus dan umum. bagi diri saya yang sering lupa ini, ibadah khusus pun sukar untuk dijaga dengan sempurna. bila hendak menyentuh tentang ibadah umum ialah apa saja yang kita lakukan disertakan dengan niat kerana Allah, tuhanku yang Maha Besar.

adakah bila saya tertunas rasa suka kepada si dia, saya akan meletakkan niat itu kerana Allah? adakah langkah seterusnya adalah kerana Allah? adakah apabila saya makin rapat dengannya yang pasti membuatkan hati saya gembira bagai di atas awan, semua perbuatan saya yang berkaitan dengannya kerana Allah? adakah dengan dapat membuatkannya menyukai saya, menyentuh si dia, semuanya kerana Allah?

jika tidak, adakah kita sudah tersimpang dari tujuan hidup sebenar?

jadi mengapa kita lebih suka dibuai impi dan ceritera yang akan membuatkan kita tergelincir dari landasan yang sepatutnya kita lalui? sudah hilangkah rasa takut kepada yang Maha Besar? bukannya kita tidak pernah dikhabarkan dengan berita dahsyat balasan kepada yang mengingkariNya.

Aku inginkan pengakhiran yang bahagia, dilimpahi rahmat dan kurniaNya.

jika kita inginkan cinta, sebenarnya kita memang sudah diselimuti cinta, dari saat kita disenyawakan lagi, kita berada dalam zon cinta. kita tidak lari dari cinta, sentiasa di sisi kita hingga kita tidak menyedari kewujudannya. seperti rangkai kata inggeris, "we take it for granted". kita menganggap itu memang apa yang kita ada, bukannya sesuatu anugerah, lantas kita tidak menghargainya. cubalah untuk menghargai cinta yang kita miliki sekarang sebelum ianya hilang dalam keadaan yang kita langsung tidak dapat menyangka.


...fikiran saya masih disibukkan dengan persoalan mengapa kita sering terdedah dengan "public display of affections" yang membuatkan nafsu kita turut terangsang ke arah itu? adakah manusia kini kurang perasaan malu?

cinta = love = 愛

No comments: